Kerjaya Art Fazil

Kerjaya awal

Perkataan pertama bagi nama pentasnya ialah akronim untuk "A Rebellious Teenager" atau "remaja yang memberontak" - label yang pernah melekat pada dirinya. Pada usia remajanya, Art terlibat dalam bidang muzik. Pada usia 12 tahun, beliau mula belajar bermain gitar. Pengaruh muziknya pada masa itu ialah kumpulan rock seperti Deep Purple, Led Zeppelin dan Sweet Charity.[6]

Art telah menulis lagu-lagunya sendiri – baik dalam bahasa Melayu dan Inggeris – sejak berumur 16 tahun. Fasih dalam kedua-dua bahasa tersebut, beliau pernah berkata bahawa lagu-lagu Melayunya berkisarkan kepada masyarakat Melayu, manakala lagu-lagu Inggerisnya mempunyai daya tarikan yang lebih sejagat.[7]

Pada tahun 1986, sebaik sahaja menamatkan pendidikan A Level, Art menghantar kaset lagu Inggerisnya kepada Jimmy Wee, ketua WEA Records ketika itu, dengan harapan label itu akan menandatanganinya. Walaupun Wee menyukai lagunya, beliau merasakan nyanyian Art tidak setanding. Art menolak cadangan Wee untuk menggunakan lagunya untuk penyanyi lain. Beliau kemudian terserempak dengan vokalis Sweet Charity, Ramli Sarip, dan berbincang dengannya. Art seterusnya menghantar beberapa lagunya kepada Ramli.[7][6]

Ramli memutuskan untuk merakam salah satu lagu Art, "Orang Kota", di mana kerjasama antara mereka terjalin. Art juga pernah mengadakan lawatan bersama Ramli sebagai penghibur jemputan dan pemuzik pelapis.[7][6] Kemudian, Art juga menulis lagu-lagunya untuk artis lain, seperti Lovehunters dan Ella.[7]

Rausyanfikir

Rencana utama: Rausyanfikir

Pada tahun 1991, Art telah bersama-sama rakannya Mohd Khair Mohd Yasin dan Mohd Esham Jamil menubuhkan kumpulan Rausyanfikir, istilah Parsi untuk "pemikir".[8] Album sulung mereka yang mengambil nama kumpulan ini sebagai tajuk album dikeluarkan pada tahun 1992 yang mana ia terjual lebih 25,000 unit di Malaysia dan Singapura.[9][10]

Album kedua mereka, Rusuhan Fikiran telah dikeluarkan pada tahun 1994 dengan tujuan untuk menyampaikan mesej sosial yang serius menggunakan lagu-lagu yang menarik. “Kami mahu pendengar kami menjadi pendengar yang berfikir. Lirik kami bertujuan untuk direnungkan. Kami tidak berhasrat untuk mengubah dunia, tetapi jika orang ramai bertindak balas dengan menjadikan ini tempat yang lebih baik untuk didiami, kami percaya kami telah berjaya dalam misi kami”, kata Art.[10] Album itu berjaya, dan salah satu single, "Dikir Fikir-Fikir", memenangi anugerah Persatuan Komposer dan Pengarang Singapura (COMPASS) untuk lagu Melayu tempatan teratas pada tahun 1997.[11]

Pada tahun 1997, berikutan kematian Esham Jamil, Rausyanfikir menghentikan aktiviti muzik mereka.[12] Hanya pada tahun 2011, Art dan Mohd Khair bersatu semula dan melancarkan album Revolusi Rausyanfikir – kompilasi lagu hits Rausyanfikir sebelum ini, serta dua lagu baharu.[13]

Bergerak solo

Pada tahun 1992, Art membuat penampilan solo sulungnya di konsert Acoustic Vibrations yang diadakan di The Substation. Meskipun menjadi tambahan pada saat-saat akhir dalam barisan, beliau menarik perhatian penonton dengan lagu bertema tempatan seperti "1964", iaitu mengenai rusuhan kaum yang tercetus di Singapura pada tahun itu, dan "Full Moon Over Marina Bay", yang membincangkan tentang remaja yang memberontak dan isu berkaitan belia yang lain.[14] Wee – yang ketika itu merupakan pengarah urusan label rakaman Pony Canyon – menonton persembahan; melihat peningkatan dalam nyanyian Art, Wee mengambilnya sebagai artis rakaman.[7]

Pada tahun 1993, Art melancarkan album pertamanya dalam bahasa Inggeris yang mengambil namanya sebagai tajuk album dengan 12 lagu pop rakyat asli. Lagu-lagu tersebut terutamanya lagu-lagu yang dipacu gitar akustik yang dipengaruhi oleh lagu-lagu rakyat Bob Dylan dan balada rock Melayu.[7] Dua single, "Sometimes When I Feel Blue" dan "Everybody Else", berjaya dalam carta radio tempatan. Yang pertama memenangi anugerah Lagu Pop Inggeris Terbaik di Anugerah COMPASS 1995.[15][16][17]

Pada April 2015, Art mengadakan pameran selama sebulan di The National Museum of Singapore sebagai sebahagian daripada Perayaan SG50. Pameran itu bertajuk Ole Ole Temasek: 50 Tahun Muzik Pop Melayu Singapura. Ia mempamerkan sejarah 50 tahun Muzik Pop Melayu Singapura bermula dari 1965 sehingga 2015. Sebagai sebahagian daripada pameran itu, Art menyampaikan ceramah mengenai kebangkitan gerakan muzik Nusantara pada 1990-an.[18]

Pada September 2015, beliau mengadakan Konsert Pop Malar Segar untuk Festival Seni Perak NAC dalam meraikan generasi perintis Singapura. Persembahan itu diadakan di Teater Kallang yang menampilkan artis legenda seperti Sanisah Huri, A. Rahman Hassan, J. Mizan dan Maria Bachok. Ia turut menampilkan bakat muda seperti Aisyah Aziz dan Imran Ajmain.[19]

Kerjaya di England

Pada tahun 1995, Art berhijrah ke London, England.[16][20] Biarpun mempunyai beberapa rakan di London, Art tidak lama kemudian menetap dan mencipta nama beraksi di litar kelab akustik. Beliau beraksi di kelab seperti The Rock Garden, Mean Fiddler, The Troubadour, The World's End dan Bungies, di mana legenda muzik rakyat, termasuk Bob Dylan dan Paul Simon, pernah beraksi sebelum ini. Pada tahun 1997, Art memenangi pertandingan menulis lagu Edinburgh Fringe Festival untuk gubahannya "Monsoon Rain" dan "Karma Train", dan telah diuar-uarkan sebagai satu-satunya penulis lagu bukan warga British dalam pertandingan itu.[17]

Album solo kedua Art, Nur, dikeluarkan pada tahun 2000.[21][22] Tidak seperti album pertamanya, Nur ialah album berbahasa Melayu. "Nur bermula dengan rasa rindu untuk merakam lagu dalam bahasa Melayu. Seolah-olah selepas berjauhan untuk beberapa lama, seseorang merindui hidangan tempatan kegemaran dan ingin merasainya sekali lagi. Begitulah perasaan saya sebelum menerbitkan album ini," katanya. Album itu menjadi kejayaan kritikal; pada tahun 2001, Art telah dicalonkan untuk enam anugerah di Anugerah Planet Muzik. Beliau akhirnya menggondol anugeran untuk Artis Lelaki Baharu Terbaik, Artis Tempatan Terbaik dan Album Tempatan Terbaik.[17][23][24]

Semasa menetap di London,[25] Art masih kerap pulang ke Singapura untuk membuat persembahan dalam gig dan melawat rakan dan keluarga. Pada tahun 2004, beliau mengadakan konsert bertajuk Kembara Seni di The Substation.[26][27] Semasa berada di London, Art cuba mempromosikan muzik dan budaya Melayu kepada penduduk di sana dengan menganjurkan festival London-Melayu yang pertama pada 2005. Festival yang diadakan di Dewan Hortikultur Diraja & Pusat Persidangan itu mendapat sambutan yang menggalakkan, menimbulkan rasa ingin tahu mengenai budaya Melayu dalam diri ramai orang.[28][29]

Kerjaya di Malaysia

Pada tahun 2009, Art melancarkan album Melayu keduanya bertajuk Syair Melayu yang terdiri daripada lagu-lagu rakyat tradisional yang mana beliau membesar bersama.[16][3][30] Pada tahun yang sama, beliau berpindah ke Malaysia untuk menubuhkan label rakamannya sendiri, Moro Records. Sejak itu, Art terus membuat persembahan, mengarang dan menerbitkan lagu. Beliau juga telah menceburi bidang lakonan, membintangi dua telefilem, iaitu Kau Mencipta Dosaku dan Salam Lebaran.[3]

Pada tahun 2013, lagu jenakanya, "Rilek Brader"[31] – yang menggalakkan orang ramai untuk bersikap rasional – yang dipersembahkan bersama pelawak, Imuda mendapat sambutan hangat di media sosial, menjana lebih satu juta tontonan di YouTube.[32][33][34] Pada tahun yang sama, beliau mengeluarkan edisi ulang tahun ke-20 albumnya di bawah labelnya, selepas memperoleh hak ke atas album itu daripada Pony Canyon. Pada tahun 2014, Art membuat persembahan di Esplanade Recital Studio, mempersembahkan "tafsiran baharu" lagu-lagunya daripada albumnya.[32]

Rujukan

WikiPedia: Art Fazil http://sungguh.com/index.php?option=com_k2&view=it... http://www.utusan.com.my/utusan/archive.asp?y=2001... http://www.utusan.com.my/utusan/info.asp?y=2010&dt... http://cyberita.asia1.com.sg/singapura/pemuzik-bol... http://compass.org.sg/annual03.html http://www.compass.org.sg/annual01.html https://www.allmusic.com/artist/art-fazil-mn000198... https://www.discogs.com/artist/559594-Art-Fazil https://www.straitstimes.com/lifestyle/entertainme... https://www.todayonline.com/entertainment/arts/gol...